Khamis, 28 April 2011

Kehancuran Kaum 'Ad



 KEMUSNAHAN KAUM AD (NABI HUD)

Sebahagian riwayat menyebut al-Ahqaf terletak antara Yaman dan Amman, hingga Hadramaut dan As-Syajar. Kaum Ad terkenal dengan kesombongan dan mempersekutukan Allah, menyembah berhala, seperti Shada, Shamud dan al-Hava.

    Hud menyeru kaumnya supaya beribadah kepada Allah, dengan meninggalkan semua bentuk penyembahan berhala kerana ia adalah jalan bagi menghindarkan diri daripada azab di akhirat.
Tetapi kaum Ad beriktikad berhala itu adalah sekutu Allah, malah bagi mereka berhala dapat memberi pertolongan. Mereka bukan saja tidak mahu mengikuti ajaran yang disampaikan, malah merendah dan menghina Hud.

     Bagi menghadapi mereka, Hud memperkenalkan dirinya seorang Rasul yang diutuskan Allah. Beliau juga mengatakan dakwahnya itu dengan ikhlas tanpa mempunyai tujuan lain.
Namun, pemimpin kaumnya yang kafir itu berkata: “Sesungguhnya kami benar-benar memandang kamu dalam keadaan kurang akal dan kami menganggap kamu termasuk orang yang berdusta.”

     Hud menjawab: “Wahai kaumku, tiada padaku kekurangan akal walau sedikit, tetapi aku ini utusan dari Tuhan semesta alam, aku menyampaikan amanah Tuhanku kepadamu dan aku hanya pemberi nasihat kepadamu.”
Kaum Ad yang memang bersikap keras kepala terus bersoal jawab. Namun, mereka langsung tidak menerima nasihat dan hujah yang disampaikan Hud. Mereka tidak mensyukuri nikmat Allah, malah bertuhankan hawa nafsu. Pemimpin mereka berasa keberatan untuk meninggalkan penyembahan berhala.

Kemudian mereka berkata:“Engkau belum memberi hujah yang jelas dalam dakwahmu. Kami sama sekali tidak akan meninggalkan penyembahan kepada tuhan kami, tidak akan membenarkan dan mengikuti seruanmu. Kami tahu sebahagian kami sembahan kami menimpakan keburukan kepadamu hingga engkau sakit ingatan dan mengucapkan perkataan tidak benar.”

     Seterusnya, kaum Ad berasa bosan dan marah dengan Hud, kerana sentiasa berdakwah dan menasihati mereka ke jalan yang benar. Mereka tidak mahu lagi mendengar nasihat itu, sebaliknya meneruskan penyembahan berhala.

     Kemudian Hud berkata: “Kamu semua pasti akan ditimpa kemurkaan Allah. Tunggulah bersama aku datangnya azab Allah yang akan menimpa kamu.”
Lalu mereka menjawab: “Apakah kamu datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah dan meninggalkan apa yang biasa disembah bapa kami?

     Datangkanlah azab yang kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang benar.”
Hud berkata: “Sungguhnya sudah pasti kamu akan ditimpa azab dan kemarahan dari Tuhanmu. Apakah kamu mahu membantah denganku mengenai nama yang kamu sertakan….tunggulah azab itu, sungguhnya aku tidak termasuk orang yang menunggu bersama kamu.”

     Mereka keras kepala dan buta mata hati. Hud menjelaskan tuhan berhala yang disembah mereka tidak lebih daripada nama yang kosong dan tiada kekuasaan, hanya patung yang tidak masuk akal untuk disembah.

     Kesombongan dan kedegilan kaum Ad itu mengundang petanda bala daripada Allah, iaitu kemarau yang panjang dengan tiada hujan selama tiga tahun. Ketika itu Hud menasihati lagi: “Berdoalah pada Tuhan, mohon ampun daripada dosa yang dilakukan, kemudian bertaubatlah pada Tuhan. Jika kamu lakukan, pasti Dia akan menurunkan hujan yang deras…”

     Selepas dilanda kemarau panjang, Allah menurunkan azab terhadap kaum Ad. Mereka dibinasakan dengan taufan yang sangat kencang, dengan semua bangunan tinggi ranap, kebun dan haiwan peliharaan mereka berselerak.

    Negeri yang didiami mereka sebelum ini subur dengan tanaman dan mewah dengan bangunan tinggi, bertukar wajah sekelip mata menjadi tandus dan kering, tiada berpenghuni lagi, semata-mata kerana tidak mengikuti ajaran Hud.

       Manakala Hud bersama pengikutnya yang beriman kepada Allah sebelum didatangkan azab itu berhijrah ke tempat lain, iaitu ke kota Makkah. Hud tinggal beberapa lama, kemudian meninggal dan dikuburkan di sana.

1 ulasan: