Sabtu, 10 Disember 2011

Ideologi Atau Wahyu ?

IDEOLOGI ATAU SYARI'AH ??

Ideologi yang hanya memperjuagkan kejayaan lahiriah bukannya rohaniah.
     
     Kemunculan pelbagai ideologi dalam kalangan manusia menimbulkan pelbagai pemahaman dan pemikiran yang mengajarkan manusia agar mematuhi dan mengikuti ajaran ideologi yang diasaskan. Tujuan ideologi tidak lain tidak bukan hanya sebagai pemikiran yang dipercayai mampu membawa manusia ke arah yang lebih cemerlang dan sukses. 

     Pelbagai ideologi telah diwujudkan oleh tokoh-tokoh tertentu bagi merealisasikan hak kebebasan manusia agar lebih terdorong ke arah yang memudahkan manusia. Seperti ideologi Kapitalisme yang berteraskan keuntungan dan kekayaan individu. Seperti zaman sekarang, pengusaha-pengusaha yang menafsirkan ideologi Kapitalisme amat merosakkan manusia dan akhlak mereka. Pengusaha hanya tahukan keuntungan yang diperolehi daripada jualan dan produk mereka. Kisah ini boleh disingkap seperti yang berlaku pada zaman sekarang, apabila pengenalan model-model yang bertujuan tidak lain tidak bukan hanya untuk melariskan produk mereka. Dengan ini, penggunaan model terutamanya daripada kalangan wanita membuatkan keuntungan peniagaan mereka berlipat-lipat kali ganda. Dalam hal ini, mereka menjadikan wanita sebagai alat kepada keuntungan mereka. Mereka menarik wanita-wanita untuk menjadi model jualan mereka bertujuan keuntungan. Oleh itu, pengharaman Allah S.W.T terhadap perempuan daripada memperagakan diri mereka dengan sewenang-wenangnya dilanggar. Kesannya, pendedahan wanita terhadap pembukaan aurat mereka mula didedahkan.

     Ini tidak lain tidak bukan hanya bertujuan untuk menjauhkan kita daripada menyedari bahawa kita bertuhan. Ideologi-ideologi seperti Hak Kebebasan Mutlak juga didedahkan kepada kita agar kita memperjuangkan Kebebasan Mutlak sebagai manusia. Pada dasarnya, manusia sebenarnya tiada kebebasan yang mutlak kerana kita sering terikat dengan hukum dan syariat Allah.S.W.T. Oleh itu, bagi mereka yang memperjuangkan kebebasan mutlak manusia merupakan mereka yang menentang syariat dan aturan Allah.S.W.T seperti yang dimaktubkan di dalam al-Quran dan Sunah Rasulullah S.A.W. Syariat dan hukum merupakan landasan yang mengatur serta menjadi jalan kepada manusia agar menuju ke arah yang benar iaitu mendekatkan diri kepada pencipta alam. Oleh itu, kebebasan mutlak hanyalah satu ideologi yang diwara-warakan kepada manusia khususnya muslimin dan muslimat agar menjauhkan kita daripada hukum dan syariat tuhan. Oleh yang demikian, berjaga-jagalah dalam ideologi ini (Kebebasan Mutlak) kerana ideologi ini secara batinnya mampu memecahbelahkan akidah kita yang berpegang kepada konsep bertuhan (terikat kepada sesuatu).

     Sebaliknya, syariah yang ditentukan oleh Allah melalui al-Quran dan sunah tidak lain tidak bukan menjadi landasan kepada manusia agar menuju kepada kejayaan yang mutlak (kejayaan dunia dan akhirat) bukannya kebebasan mutlak, tetapi kejayaan mutlak. Hal ini merupakan satu norma kehidupan apabila manusia itu memerlukan panduan dan garisan untuk mencapai kejayaa. Samalah seperti syariat Islam yang disyariatkan kepada kita todak lain tidak bukan sebagai garisan dan panduan kepada kita agar mencapai kejayaan yang mutlak.

     al-Quran dan sunnah sebagai panduan khas kepada manusia.


     Oleh itu, al-Quran dan sunah amat penting sebagai panduan kepada kita bagi mencapai kejayaan. Berbanding dengan ideologi yang dicipta oleh manusia yang mempunyai kekurangan dan ketidakstabilan, syariah Allah itu merupakan yang paling agung kerana ianya tidak mempunyai sebarang cacat dan cela dari lahiriahnya mahupun rohaniahnya. Demikianlah kehebatan mukjizat Allah azza wa jalla yang tiada cacat cela pada-Nya. Lantaran itu, kembalilah kepada Allah dan syariat-Nya, janganlah kita sibuk memperjuangkan ideologi-ideologi yang digembar-gemburkan kepada kita tanpa kita ketahui asal usulnya dan motif utamanya.
Al-Quran dan sunah merupakan petunjuk yang selengkap-lengkapnya di dunia ini yang ditujukan khas kepada  makhluk yang bernama manusia. Kembalilah kepada-Nya, kepada kitab-Nya, kepada sunah rasul-Nya agar kita berjaya mencapai kejayaan yang mutlak, bukan kebebasan yang mutlak.

"YA ALLAH, ENGKAU KAWALLAH HATI KAMI INI, JANGANLAH ENGKAU BIARKAN KAMI MENGAWAL HATI KAMI SENDIRI YANG PENUH DENGAN DOSA DAN NODA. SESUNGGUHNYA NUR DAN PETUNJUKMU TIDAK PERNAH SIRNA. SESUNGGUHNYA ENGKAU TUHAN YANG MAHA MEMBERI PETUNJUK."
AMIN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan